Perutusan Pengerusi
UCAPAN PENGERUSI PPANS
Perutusan Pengerusi
Assalamualaikum wbt
Salam Malaysia MADANI, Salam Negeri Sembilan Bersih . Muafakat . Sejahtera
Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat-Nya kerana dengan izin Allah SWT saya diberikan kesempatan untuk merakamkan penghargaan yang tidak terhingga ini kepada semua pihak yang telah memberi sokongan padu kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) sepanjang tahun 2024. Kejayaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil usaha bersama dalam memastikan perpustakaan ini terus menjadi pusat ilmu yang bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat. Saya selaku Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan mengambil peluang merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja (PPANS) yang komited dalam membangunkan PPANS untuk menjadi sebuah organisasi yang dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Syabas dan tahniah buat PPANS kerana tidak ketinggalan dalam menyediakan portal yang dapat mendekatkan hubungan antara orang awam dengan jabatan. Saya berharap laman web ini mampu melaksanakan perananya sebagai medium bagi menyebarluaskan segala maklumat berkaitan perkhidmatan perpustakaan yang ditawarkan melalui capaian mesra pelanggan yang mudah diakses menggunakan komputer mahupun telefon bimbit.
Sebagaimana semua sedia maklum, Teknologi AI (Kecerdasan Buatan) telahpun semakin berkembang pesat, dan saat ini sudah banyak aplikasi yang menggunakan AI dalam kehidupan seharian, termasuk bidang perpustakaan. PPANS turut mengambil peluang mempertingkatkan penggunaan Teknologi AI ini bagi memudahkan bahan-bahan perpustakaan dikesan dan boleh diolah supaya pengguna perpustakaan boleh mendapat maklumat yang dikehendaki dengan pantas dan tepat dalam format digital serta lebih menarik. Inisiatif ini pasti dapat meningkatkan minat dan keinginan untuk mendapatkan sumber-sumber ilmu yang berkualiti.
Akhir kata, saya yakin tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya kita tekun dan berusaha keras untuk mencapai cita-cita. Saya akan terus menyokong penuh segala program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh PPANS dalam usaha memartabatkan ilmu pengetahuan sebagai penyalur maklumat utama di Negeri Sembilan. Insha Allah
Semoga PPANS akan dapat meneruskan kecemerlangan dan mempertingkatkan prestasi dan membudayakan program keilmuan demi memastikan masyarakat mendapat kemudahan yang terbaik di Negeri Sembilan. Semoga PPANS terus cemerlang pada tahun ini. Selamat Tahun Baharu 2025.
Sekian, salam hormat
Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan
Merangkap
Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan