Objektif Jabatan
- Membina, memelihara dan mengurus koleksi-koleksi perpustakaan untuk tujuan pembelajaran, penyelidikan dan meninggikan tahap pengetahuan serta kemahiran khususnya Masyarakat Negeri Sembilan.
- Menyediakan koleksi-koleksi sumber perpustakaan untuk memudahkan pencarian maklumat bagi menampung penggunaan generasi kini dan masa depan.
- Memudahkan penggunaan sumber-sumber perpustakaan di seluruh Negeri Sembilan
Visi & Misi
VISI
1 : Peneraju kepada perkhidmatan perpustakaan yang terunggul khususnya kepada rakyat Negeri Sembilan
MISI
1 : Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan komited untuk mengukuhkan perkhidmatan dan koleksi perpustakaan
disamping menggalakkan pembangunan kandungan digital tempatan secara sistematik.
2 : Memberi perkhidmatan yang cekap dan mesra serta memenuhi keperluan pengguna
3 : Menjadi sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu bagi Negeri Sembilan.
4 : Membina, memelihara dan menguruskan koleksi perpustakaan untuk tujuan pembelajaran serta penyelidika untuk
meninggikan tahap pengetahuan dan kemahiran masyarakat Negeri Sembilan.
Perutusan Pengarah
PERUTUSAN PENGARAH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Salam Bersih . Muafakat . Sejahtera.
Salam Malaysia MADANI.
Alhamdulillah, sama-sama kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan-Nya sekali lagi kita diberikan kesempatan untuk melangkah ke Tahun Baharu 2025. Tahun 2024 telah melabuhkan tirainya dengan meninggalkan seribu satu kenangan dan pengalaman yang penuh bermakna buat kita semua. Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua warga kerja Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) atas segala kerjasama dan pencapaian sepanjang tahun 2024 yang lalu. Harapan saya agar tahun 2025 ini kita terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan berkesan dalam memastikan visi dan misi PPANS dapat dicapai dengan jayanya.
Sebagai sebuah organisasi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan ilmu dan maklumat, PPANS akan terus memfokuskan usaha untuk mempertingkatkan akses kepada ilmu pengetahuan dan maklumat yang berkualiti kepada masyarakat untuk menghadapi era digital yang semakin berkembang pesat. Secara holistiknya, perpustakaan bukan sahaja menjadi pusat penyebaran ilmu yang berperanan menyediakan bahan bacaan secara tradisional bahkan menjadi wahana menyediakan platform digital bagi memenuhi keperluan pengguna moden mengakses bahan-bahan ilmiah, kajian, dan literasi digital tanpa halangan.
PPANS akan terus giat mempromosikan perkhidmatan perpustakaan dan menyemarakkan masyarakat yang suka membaca serta cintakan ilmu sebagai usaha membantu melahirkan generasi yang mempunyai modal insan yang tinggi.
Akhir kata, saya amat berharap PPANS akan terus mengorak langkah dalam mengukir kejayaan dan menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat yang mana sentiasa mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri, Ahli Lembaga, serta seluruh warga Negeri Sembilan dalam mencapai hasrat dan matlamat PPANS untuk terus maju ke hadapan.
Hamdan bin Haji Nordin
Timbalan Pengarah
Perbadanan Perpustakaan Awam
Negeri Sembilan Darul Khusus